kalau tak jelas sangat tulisan tu, tekan ctrl +, kalau rasa tulisan tu kecik sangat, tekan ctrl - ....mekaseh! enjoy your reading!

Sunday, August 10, 2008

result exam~ :)

result dah pun kuar..n smua org pn tahu sy ade kne repeat paper, bg mmbolehkn naik tahun ke tahun dua....[well, it was a great things that I can still repeat d paper..rather than just stay still in d first grade, till then, this article was made due to the 'natijah' yg released mengejut itu]..baca la slow2... :)

GAGAL – emosi dan persepsi.

Sedar atau tidak, sudah masuk bulan ogos menandakan semakin hampir ke penghujung pengajian untuk sesi 07/08. Pastinya kehadiran bulan ogos ini mengundang resah di hati masing-masing. Apa tidaknya, di bulan inilah semua jerih-perih kita bertungkus-lumus belajar selama setahun akan dijelmakan dalam bentuk keputusan peperiksaan. Di mana pun nama kita berada, sama ada dalam kalangan mereka yang berjaya mahupun yang kurang bernasib baik, itu adalah rezeki yang ALLAH yang telah tetapkan kepada kita. Oleh itu, bersyukur merupakan langkah terbaik menerima segala perancangan ALLAH S.W.T.

Ramai yang telah berjaya, tidak kurang juga yang kurang berjaya. Durr thani, mengulang tahun, istisna’, dan beberapa lagi istilah yang menunjukkan ketidakberjayaan, namun tidak semua pelajar mengalaminya. Pepatah gagal sekali bukan untuk selamanya haruslah dipegang erat. Gagal bukan bererti kehidupan kita sudah berakhir. Justeru, kita seharusnya mengambil kesempatan atas kesilapan dan memperbetulkan kekurangan yang dilakukan pada masa lalu agar menjadi lebih baik pada masa hadapan.

Pelajar yang sedar bahawa di bahunya tergalas satu tanggungjawab yang berat dan besar, yang sedar bahawa dia adalah generasi hadapan, yang sedar dia tidak punyai waktu yang banyak untuk disia-siakan begitu sahaja, mereka ini yang akan mencari peluang memperbaiki diri dan akan sentiasa mencari ruang meningkatkan thaqofah yang dimiliki serta akan berusaha menjadi insan yang mampu mencipta perubahan, mampu mencipta kejayaan di masa mendatang walaupun bermula dengan sebuah kegagalan.

Kejayaan yang dicipta daripada kegagalan adakalanya lebih baik daripada kejayaan yang berterusan kerana kegagalan adalah ujian dan mehnah yang ALLAH beri kepada kita sebagai makhluknya yang istimewa di muka bumi ini. Manusia yang kerap diuji adalah mereka yang ALLAH sayang padanya. Tidak gembirakah kita tergolong dalam kalangan mereka yang ALLAH sayang?

“Sesungguhnya Allah SWT apabila mencintai seorang hambaNya, maka nescaya diuji hamba itu dengan ujian yang tiada penawarnya (melainkan sabar dan redha). Apabila ia sabar maka ia menjadi hamba pilihan Allah dan jika ia redha, maka ia diangkat darjatnya oleh Allah SWT” – Jauharul Mauhub Wa Munabbihaatul Qulub bagi Sheikh Ali Abdul Rahman Al Kelantani

Hidup tanpa cabaran tidak akan memberi makna apa-apa. Jika hidupnya gembira sahaja sepanjang masa, maka dia tidak akan belajar untuk sedih. Jika hidupnya dipenuhi gelak tawa, dia tidak akan belajar untuk menangis. Dan jika kita tidak dicabar, kita tidak akan belajar untuk bersabar. Di zaman nabi dulu juga, umat islam sentiasa dicabar. Contohilah sikap mereka yang sabar menghadapi tohmahan, dugaan dan sebagainya. Seharusnya kita bersyukur kita hanya diuji dengan kegagalan duniawi yang sementara. Hanya gagal pada kertas peperiksaan. Bagaimana jika kita gagal menjadi hamba yang terbaik di hadapan ALLAH?

Realitinya setiap yang gagal akan belajar daripada kesilapan. Rata-rata berjanji tidak mahu pisang berbuah dua kali. Jika betul tindakan dan perlaksanaan yang diambil, tiada sebab untuk kita mengulang kesilapan dan kegagalan yang sama. Ingatlah, ibarat perut yang perlu diisi, di biar kosong akan memudaratkan dan mendatangkan penyakit. Begitu juga jika kita tidak memenuhkan masa kita dengan belajar dan memahami madah dan subjek untuk peperiksaan, anasir-anasir lain akan masuk ke dalam jiwa kita dan seterusnya mengakibatkan datangnya penyakit malas, leka, lalai dan pelbagai lagi. Lantas kejayaan yang bagaimana diharapkan?

Tuntasnya, kita seharusnya tahu apakah sebab muhasabah untuk kita memilih belajar di bidang yang kita berada sekarang. Sudah banyakkah persediaan yang dibuat untuk merealisasikan segala impian kita? Dan sekadar peringatan bersama, keputusan peperiksaan juga adalah ujian, untuk melihat sama ada kita menjadi hamba yang bersyukur atau kufur, untuk menguji sejauh mana taqarrubnya kita kepada ALLAH. Percayalah, ALLAH tidak akan mensia-siakan makhluknya. Telanlah pahitnya kegagalan ini agar kita dapat merasai manisnya mengecap kejayaan nanti.

Kepada mereka yang tidak dapat naik tahun, yang akan menduduki durr thani, usaha lagi, teruskan langkahmu. Insya-ALLAH ada kejayaan menanti kita di sana. Perjalanan hidup kita masih jauh. Percayalah setiap yang berlaku ada hikmahnya yang tersendiri. Percayalah pada janji DIA yang maha kuasa. Wallahu’alam bishawab

Coretan anda?